fbpx

0

Aafiya Life

Memberi Ruang  Untuk Menjaga Kesejahteraan Emosi

Emosi adalah keadaan fisiologi yang menggerakkan kita untuk bertindak secara tertentu dan menyampaikan maklumat penting tentang persekitaran dalaman dan luaran kepada diri kita sendiri dan orang lain. Bukan semua emosi adalah pengalaman yang menyenangkan. Disebabkan betapa sukarnya untuk berhadapan dengan beberapa emosi terutamanya rasa malu, marah, takut dan sedih, ramai orang mencuba untuk tidak menghiraukannya.

 

 

Memendam  emosi akan meningkatkan tahap tekanan dalam diri, seperti mana yang ditunjukkan oleh satu penyelidikan di mana orang yang diberi arahan untuk memendam emosi mereka, tahap tekanan mereka naik. Peningkatan tekanan ini boleh meninggikan risiko penyakit jantung dan hipertensi. Selain itu, memendam emosi juga menghalang kita daripada mendapat maklumat berharga tentang nilai, motivasi, keperluan dan batasan kita.

 

Walaupun meluahkan emosi adalah penting, luahan emosi yang berlebihan dan tanpa sekatan boleh mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan fizikal, mental dan sosial kita. Sebagai contoh, marah yang tidak terkawal boleh meningkatkan risiko serangan jantung atau strok. Kebimbangan atau kemarahan yang berlarutan juga  boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan mental, seperti kemurungan dan kegelisahan (anxiety)

 

Jadi, apakah alternatifnya? Daripada memendam atau meluahkan emosi secara berlebihan, kita seharusnya menerima emosi dan bertindak balas (respond) terhadapnya.

 

Dalam blog ini, kami akan mengupas lima tips penting untuk membantu anda menyembuh dan mengekalkan kesejahteraan emosi. Tujuannya bukanlah untuk mematikan terus emosi kita tetapi untuk mengawalnya dengan lebih baik

 

 

1.Mengenali Emosi Anda

Asas bagi kesihatan emosi yang baik adalah kesedaran diri. Kesedaran diri melibatkan pengakuan dan pemahaman terhadap perasaan anda. Ramai di antara kita cenderung untuk mengabaikan emosi kita atau mengalihkan perhatian apabila kita mengalami ketidakselesaan, tetapi melakukannya boleh memberi kesan negative kepada  kesihatan emosi kita.

Untuk memberi perhatian kepada emosi, luangkan seketika untuk memeriksa diri anda dari masa ke semasa. Tanyakan kepada diri bagaimana perasaan anda dan cuba kenal pastikan apakah emosi tertentu yang sedang dirasai. Adakah anda gembira, sedih, cemas, atau bingung? Mengenali dan memberi nama kepada emosi membolehkan anda menguruskannya (manage)  dengan berkesan.

 

 

2.Meluahkan Emosi Anda

Setelah anda mengenali emosi anda, adalah penting untuk meluahkannya dengan cara yang sihat. Jika emosi tidak diluahkan, ia boleh terkumpul dan menyebabkan tekanan atau masalah kesihatan mental atau fizikal.

Mengekpresikan emosi dengan sihat boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Antara contohnya  adalah, anda boleh memilih untuk berkongsi dengan rakan yang dipercayai atau ahli keluarga, menulis dalam jurnal, bermeditasi atau melibatkan diri dalam aktiviti fizikal seperti bersukan atau menari dsb. Kuncinya adalah untuk mencari kaedah yang sesuai untuk memproses perasaan anda tanpa menyebabkan tekanan atau kerosakan kepada diri sendiri atau orang lain.

 

 

3.Menetapkan Batasan

Menetapkan batasan adalah aspek penting dalam melindungi kesejahteraan emosi anda dan untuk anda berfungsi dengan baik dalam kehidupan seharian. Ia adalah cara untuk anda menentukan apa yang boleh diterima dan apa yang tidak boleh diterima dalam hidup anda. Belajar untuk berkata “tidak” apabila perlu adalah kemahiran asas dalam mengekalkan batasan ini.

Mula dengan amalan menetapkan batasan setiap hari, bermula dengan situasi yang kurang mencabar. Tolaklah dengan sopan jemputan atau permintaan yang anda rasa tidak selesa. Apabila anda berasa lebih yakin, anda boleh secara beransur-ansur beralih kepada situasi yang lebih mencabar. Ingatlah bahawa menetapkan batasan adalah tindakan penjagaan diri, dan ianya penting bagi mengekalkan kesejahteraan emosi.

 

 

4.Luangkan Masa Untuk Berehat

Kehidupan seharian boleh menjadikan anda berasa tertekan dan penat secara fizikal dan juga mental. Penting untuk sedar bila anda perlu berehat. Memberi peluang kepada diri untuk berehat boleh memberi perubahan besar kepada kesejahteraan emosi anda.

Berehat boleh menjadi semudah seperti menjauhkan diri dari situasi yang menekankan dan mencari ruang yang sunyi untuk bernafas dengan mendalam. Sebagai alternatif, anda boleh memilih rehat yang lebih panjang dengan melakukan aktiviti yang membawa kebahagiaan seperti melakukan hobi, berjalan di alam semula jadi atau melancong. Mengintegrasikan masa untuk berehat ini ke dalam rutin secara berkala  boleh membantu  anda mengelakkan kelelahan emosi (emotional fatigue) dan memastikan keadaan emosi yang lebih sejahtera.

 

 

5. Mencabar Pemikiran Negatif

Pemikiran negatif  merugikan anda dan sudah tentunya memberi impak kepada kesejahteraan emosi anda. Apabila berhadapan dengan situasi yang sukar atau tidak pasti, minda kita cenderung kepada pemikiran negatif. Untuk mengatasi kecenderungan ini, cabar pemikiran negatif apabila mereka muncul.

Ambil masa seketika untuk mengkaji pemikiran negatif ini secara kritikal. Tanya kepada diri anda jika fikiran-fikiran tersebut adalah berdasarkan realiti atau diperbesarkan kerana rasa takut atau kebimbangan tentang perkara yang anda sendiri tidak pasti akan berlaku. Seringkali, anda akan dapati bahawa pemikiran negatif tidak berasaskan kepada kebenaran dan terdapat cara yang lebih positif untuk melihat situasi tersebut. Amalan penyusunan semula kognitif (cognitive reframing) ini boleh membantu anda meningkatkan pemikiran positif sekaligus mengurangkan pemikiran negatif yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi anda.

 


Kesimpulan

Penerimaan dan tindak balas yang sesuai terhadap emosi membantu membina toleransi yang lebih besar terhadap emosi kita . Dengan toleransi yang lebih besar, kita dapat mengawal emosi kita dan seterusnya membolehkan kita untuk membuat keputusan yang betul. Walaupun ia mungkin tidak selalu mudah, kelima-lima cara  di atas iaitu mengenali emosi anda, meluahkannya dengan cara yang sihat, menetapkan sempadan, berehat apabila diperlukan dan mencabar pemikiran negatif boleh membantu anda membina ketahanan emosi. Dengan berbuat demikian, kita memberikan emosi ruang yang diperlukan bagi mencapai kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *